KLANG: Seorang penjual buah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh kekasihnya, dua minggu lepas.

Khoo Choon Heng, 44, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Amirul Asyraf Abd Rashid.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Khoo didakwa membunuh Koh Chea Ling, 26, di Jalan Bayu Tinggi 5, Taman Bayu Tinggi di sini pada 1 petang, 18 Dis lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Bahiyah Amir Haidi manakala tertuduh diwakili peguam Sharonpal Singh.

Sebelum ini media melaporkan seorang wanita mati dibunuh dengan kesan tikaman pada badannya sebelum ditinggalkan dalam sebuah kereta di Klang.

-- BERNAMA